Tuesday, November 8, 2016

Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu

1.0 Pengenalan

Ilmu linguistik merupakan ilmu yang mengkaji bidang bahasa secara saintifik ataupun mendalam, iaitu ilmu yang mengkaji dan menganalisis sesuatu bahasa tertentu secara emprikal dan objektif tanpa dipengaruhi faktor-faktor keberangkalian (reasoning), ramalan, falsafah mahupun andaian. Antara bidang ilmu linguistik bahasa Melayu ialah bidang fonetik dan fonologi yang memberi tumpuan kepada analisis kepada sistem bunyi sesuatu bahasa yang dikaji pada masa tertentu amnya untuk menghasilkan sistem tulisan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015 : 414), fonetik merupakan ilmu bahasa (linguistik) yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya manakala fonologi (2015 :414), ialah kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa.

Menurut Abdullah Hassan (2007),  bidang kaji bunyi dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu fonetik dan fonologi. Fonetik sebenarnya lebih kepada mengkaji penyebutan bunyi manusia, amnya bunyi yang digunakan dalam pertuturan ataupun komunikasi seharian manakala fonologi pula lebih kepada mengkaji sistem bunyi-bunyi dalam bahasa. Dalam hal ini, dapatlah kita membuat satu pernyataan bahawa fonetik dan fonologi ialah kajian tentang bunyi-bunyi bahasa bagi membuat deskripsi bunyi-bunyi tersebut dan membuat transkripsinya.  Bunyi-bunyi tersebut perlu didengar terlebih dahulu sebelum dideskripsi kepada lambang-lambang bunyi.

Kesimpulannya, bidang fonetik dan fonologi bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada dua bahagian yang penting iaitu fonetik dan fonologi ( Dr. Faridah Nazir & Dr. Hjh Maridah Hj Alias, 2015 : 2 )


Tugasan 1 :
2.0 Konsep fonetik dan fonologi, alat-alat artikulasi dan artikulator serta fonem suprasegmental dalam bahasa Melayu. (40 %)

2.1 Konsep fonetik dan fonologi
  Antara faktor yang penting yang menjadikan bahasa Melayu sebagai suatu bahasa yang sangat mudah untuk dipelajari adalah disebabkan oleh salah satu cabang linguistik iaitu fonologi dan fonetik. Dapatlah disimpulkan bahawa hampir setiap huruf Rumi mewakili satu sebutan fonem. Siti Hajar Abdul Aziz (2011) berpendapat bahawa asal usul perkataan fonetik sebenarnya berasal daripada bahasa Greek yang disebut sebagai phone iaitu bunyi (suara). Jelaslah bahawa fonetik merupakan kajian mengenai fon atau bunyi-bunyi bahasa dan cara bunyi-bunyi itu dihasilkan, didengar malah untuk diinterprestasikan.
Bagi kajian bidang fonetik ini, bunyi-bunyi bahasa diberi aspek penekanan misalnya cara bunyi-bunyi bahasa diujarkan dan melihat cara organ-organ pertuturan manusia yang terlibat bekerja bagi menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dengan sempurna. Selain fonetik, satu lagi bidang yang penting juga dalam bahasa Melayu ialah bidang fonologi.

  Fonologi merupakan bidang yang mempunyai kaitan dengan organ-organ ujaran manusia dan cara manusia menggunakan organ-organ tersebut untuk komunikasi seharian. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), fonologi ialah kajian mengenai sistem bahasa yang berkaitan  dengan senarai bunyi bahasa dan ciri-ciri bunyi tersebut serta peraturan khusus yang menjelaskaan cara bunyi-bunyi tertentu berhubung antara satu sama lain. dan bidang yang mengkaji bunyi bahasa pada tahap yang lebih tinggi daripada fonetik iaitu struktur bunyi bahasa yang dipertuturkan. Namun demikian, kajian fonetik sering didahului oleh fonetik kerana bidang fonetik membekalkan maklumat yang diperlukannya untuk dianalisis, iaitu lambang-lambang huruf vokal dan konsonan bagi menggambarkan bunyi-bunyi tertentu.

Manakala, menurut Abdullah Hassan (2007), bunyi-bunyi bahasa bagi membuat sesebuah deskripsi bunyi-bunyi sesuatu bahasa, membuat penggolongan bunyi-bunyi tersebut dan membuat transkripsinya, Kebiasaannya, bunyi-bunyi tersebut akan didengari terlebih dahulu sebelum dideskripsi. Justeru, bunyi-bunyi yang akan dikaji perlu dirakam terlebih dahulu dan kajian tersebut akan bergantung sepenuhnya kepada kualiti rakaman mesin tersebut dan menekankan dalam bidang mengkaji bunyi deskripsi fonetik memainkan peranan supaya bunyi-bunyi bahasa sebagai unit-unit yang dapat dikaji. (Abdullah Hassan, 2007).

2.2 Konsep alat-alat artikulasi dan artikulator
  Antara elemen yang penting dalam bidang fonetik dan fonologi bahasa Melayu ialah mengenai alat-alat artikulasi dan artikulator. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), alat artikulasi merupakan alat atau organ yang berfungsi mengeluarkan bunyi bahasa. Alat-alat yang terlibat dalam sistem udara yang keluar dan masuk ke paru-paru untuk menghasilkan bunyi. Alat artikulasi dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu alat yang boleh digerak-gerakkan dengan bebas dan boleh diletakkan pada beberapa kedudukan di dalam mulut manakala bagi daerah pengeluaran, iaitu tempat yang tetap dan terletak di bahagian sebelah atas pengeluar dan tempat ini dapat dicapai oleh alat-alat pengeluar yang berkaitan. Artikulator merupakan bahagian alat pertuturan yang boleh digerak-gerakkan, iaitu lidah, bibir, dan juga gigi bawah yang berada di bahagian bawah rongga mulut.

  Artikulator (alat artikulasi) juga merupakan organ yang menghasilkan bunyi bahasa manakala daerah artikulasi ialah gigi atas, gusi, lelangit keras, dan lelangit lembut. Bukan itu sahaja, daerah artikulasi ialah bahagian alat pertuturan di atas rongga mulut yang langsung tidak dapat digerakkan namun hanya mampu didekati atau disentuh dalam proses pengeluaran bunyi-bunyi bahasa. ( Nor Hashimah Jalaluddin, 1998 :16-17). Seperti yang kita ketahui, haiwan juga menghasilkan bunyi namun bunyi-bunyi yang dihasilkan tidak dapat dijelmakan secara spesifik misalnya dalam bentuk lambang yang tertentu bagi menyatakan makna.

Namun begitu, manusia sudah pastinya dapat menghasilkan bunyi-bunyi ujaran yang bermakna dengan menggunakan organ-organ pertuturan. Hal ini dibuktikan oleh kajian yang telah dilaksanakan oleh para saintis iaitu mereka telah mengambil inisiatif untuk meletakkan sejenis kamera yang kecil ke dalam ruang rongga mulut bagi memeriksa dan membuat penelitian tentang pergerakan fizikal organ dengan cara pemantulan atau kebolehan mengenal pasti bunyi-bunyi yang perlu dihasilkan. Alat-alat artikulasi yang terdapat pada manusia mempunyai fungsi tertentu iaitu berperanan mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa.

  Anak tekak merupakan salah satu alat artikulasi yang berada di bahagian belakang rongga mulut dan berdekatan dengan lelangit lembut. Anak tekak berperanan sebagai alat pertuturan bersama-sama dengan lelangit lembut untuk menentukan sesuatu bunyi yang dihasilkan sama ada sengau ataupun tidak. Bukan itu sahaja, anak tekak boleh digerakkan sama ada dinaikkan ataupun diturunkan. 

   Selain anak tekak, Abdullah Hassan (2007) berpendapat bahawa lidah juga sebenarnya aktif dalam menghasilkan bunyi. Beliau juga menyatakan bahawa daun lidah boleh dibahagikan kepada tiga daerah iaitu hujung, depan dan juga belakang bagi memudahkan kita membuat deskripsi.

Namun begitu menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), beliau telah membahagikan lidah kepada lima bahagian iaitu hujung lidah, tengah lidah, hadapan lidah, belakang lidah daun lidah. Bagi bahagian hadapan, tengah dan belakang lidah berperanan untuk menghasilkan bunyi-bunyi vokal iaitu vokal hadapan, vokal tengah dan vokal belakang. 

  Bukan itu sahaja, hujung lidah juga boleh digerakkan ke mana-mana bahagian dalam mulut bagi menyekat perjalanan udara. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan kes yang dikatakan kes buli dimana murid tersebut telah dibuli oleh rakannya dengan menggunting lidahnya. Menurut ayahnya, murid tersebut dikatakan masih trauma kerana selepas kejadian tersebut anaknya kurang berkomunikasi dengan orang sekeliling. Justeru, bahagian lidah merupakan salah satu alat artikulasi yang penting bagi  proses pengeluaran bunyi selain daripada salah satu pancaindera manusia.

  Selain lidah, terdapat sepasang otot selaput nipis yang dikenali sebagai pita suara. Pita suara terletak di bahagian halkum. Apabila pita suara dirapatkan, ruang rongga akan direngkung dimana lubang di antara dua keping selaput tersebut dapat diluaskan atau disempitkan dalam usaha mengeluarkan bunyi. Bukan itu sahaja, pita suara yang nipis ini akan bergetar (vibrate) apabila menerima tekanan aliran udara yang keluar dari paru-paru dan menghasilkan bunyi bersuara.

  Kedua-dua selaput itu tersebut lebih dikenali sebagai glotis yang akan bergerak sewaktu kita bertutur dan apabila kedua-dua selaput tersebut dirapatkan maka glotis akan menjadi sempit atau tertutup manakala sekiranya selaput itu direnggangkan, glotis akan menjadi luas. Hal ini akan berlaku sekiranya tekanan terhasil pada bahagian bawah tenggorok dan akan terasa seolah-olah aliran udara terhenti. 

Menurut pandangan ahli lingusitik, Abdullah Hassan (2007) pula, pita suara akan bergetar sebanyak 110 kali sesaat bagi lelaki manakala tiga kali ganda bagi wanita. Oleh yang demikian, pita suara berfungsi dalam menentukan sesuatu bunyi yang dihasilkan sama ada bersuara ataupun tidak bersuara. Sekiranya selaput tersebut disempitkan namun tidak terlalu rapat, udara dari paru-paru yang keluar melaluinya akan bergetar dan menghasilkan bunyi bersuara manakala bunyi tidak bersuara akan berlaku jika selaput suara direnggangkan dan glotis terbuka namun tidak begitu luas dan udara dari paru-paru yang keluar melaluinya tidak bergetar. 

  Bukan itu sahaja, rahang juga merupakan salah satu alat artikulasi. Manusia mempunyai dua bahagian rahang iaitu rahang atas dan rahang bawah namun begitu peranan rahang tidak begitu penting seperti alat-alat artikulasi yang lain. Sebenarnya, kedudukan rahang dalam proses membunyikan vokal misalnya keadaan bukaan antara dua rahang atas dan dengan bawah adalah sempit semasa membunyikan vokal [i] dan vokal [u] manakala keadaan rahang akan terbuka dengan luas semasa proses membunyikan vokal [a] dan [ə]. 

  Akhir sekali, bagi menentukan penghasilan bunyi-bunyi bahasa bahagian ronggalah yang menjalankan tugas. Rongga merupakan bahagian lapang yang menjadi tempat laluan udara yang keluar dari paru-paru. Rongga dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rongga tekak, rongga mulut dan rongga hidung.

  Cara penghasilan bunyi-bunyi bahasa melalui rongga tekak akan bermula daripada bahagian atas selaput pita suara sehinggalah ke bahagian anak tekak. Bagi rongga mulut pula, ia bermula dari ruang  di belakang lidah membawa ke bahagian bibir sebelah dalam manakala rongga hidung bermula dari bahagian belakang anak tekak menghala ke hidung (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011). Hal ini juga akan menyebabkan rongga hidung dan rongga tekak boleh dibuka atau ditutup namun bergantung kepada keadaan sama ada anak tekak dan lelangit lembut dinaikkan atau diturunkan. 

  Daerah artikulasi merupakan kedudukan organ yang terlibat dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa iaitu bibir, gusi dan lelangit. Daerah-daerah arikulasi juga boleh digerakkan misalnya lelangit lembut yang boleh dinaikkan atau diturunkan namun terdapat beberapa kedudukannya adalah tetap misalnya lelangit keras dan gusi. (Siti Hajar Abdul Aziz, 2011).

  Bibir merupakan sempadan yang paling luar pada rongga mulut. Bibir sebenarnya merupakan organ yang mempunyai kumpulan otot yang kenyal dan boleh diubah-ubah bentuknya dengan mengawal otot-otot pada bibir. Otot-otot tersebut boleh dibuat supaya bentuknya menjadi bundar atau leper bagi menghasilkan bunyi-bunyi yang berlainan

  Menurut Abdullah Hassan (2007), gigi sebagai organ sebutan namun peranannya adalah pasif. Ini bermaksud gigi tidak dapat bergerak namun dapat digunakan sebagai penampan aliran yang keluar dari paru-paru. Bukan itu sahaja, gigi turut memainkan peranan sebagai daerah penyebutan bunyi [c] dan [j].

  Tambahan pula, gusi atau alveolar merupakan alat pertuturan yang terletak antara bahagian gigi dengan lelangit keras. Gusi merupakan bahagian yang cembung di gigi menurun ke bahagian dalam rongga mulut yang tidak boleh digerakkan dan  menghasilkan bunyi dengan bantuan hujung lidah dan gigi bagi membuat penyekatan misalnya semasa mengujarkan bunyi [t] dan [d]. 

  Di samping itu, lelangit lembut bermula dari sempadan lelangit keras hingga akhir daerah atas rongga mulut. Lelangit lembut merupakan bahagian lelangit yang terkebelakang dalam rongga mulut dan boleh diturunkan dan dinaikkan bagi tujuan menutup atau membuka saluran tekak ke rongga hidung. Keadaan lelangit lembut diturunkan akan menyebabkan bunyi sengauan berlaku misalnya bunyi [n] dan [m] manakala sekiranya lelangit lembut dinaikkan maka bunyi-bunyi letupan dan geseran misalnya bunyi [b] dan [h] akan terhasil. 

2.2 Fonem suprasegmental bahasa Melayu

  Suprasegmental bermaksud unsur-unsur bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu yang terdiri daripada tekanan, nada, jeda dan panjang-pendek. Suprasegmental atau dikenali juga sebagai suprapenggalan adalah sifat bunyi yang menindih sesuatu fonem. Maka, kebanyakan orang dapar bertutur dengan berpandukan unsur suprasegmental untuk menyerlahkan emosinya. Unsur tekanan merupakan cara meninggikan laras bunyi untuk memberikan penekanan namun cara ini agak kasar. Jelaslah bahawa tekanan berperanan untuk menyebut perkataan, frasa atau ayat dan menandakan aspek yang perlu diberi penekanan. Lambang yang biasa digunakan ialah /'/. 

Seterusnya, nada ialah kadar meninggi atau menurun pengucapan sesuatu suku kata atau perkataan. Nada biasanya ditandai dengan angka 1, 2, 3 dan 4 yang membawa maksud iaitu angka 1 akan menunjukkan nada yang paling rendah, angka 2 pula menunjukkan nada permulaan ujaran, angka 3 akan menunjukkan nada tekanan pada ujaran dan angka 4 bakal menunjukkan nada yang paling tinggi. Nada membolehkan sesuatu ayat itu diujarkan dalam bentuk mendatar, menaik dan menurun bagi menimbulkan pola lagu dalam ayat tersebut.

  Jeda atau disebut sebagai persendian ialah unsur hentian yang memisahkan elemen-elemen lingusitik misalnya perkataan, rangkai kata atau ayat. Lambang yang digunakan untuk jeda ialah [#]. Selain jeda, panjang-pendek bagi kadar panjang atau pendeknya sesuatu bunyi itu diucapkan. Lambang bagi fonem ini [ : ] dinamakan mora yang bererti panjang sebutan bunyi itu ialah mora manakala [ : : ] menggambarkan dua mora dan lambang [.] merupakan setengah   mora. Namun dalam bahasa Melayu,  unsur ini tidak membezakan makna. Contoh ayat berikut menunjukkan unsur suprasegmental yang berbeza dan mempunyai unsur ketaksaan :

(i  (i)    Ibu bapa Ali telah meninggal dunia ? (ayat tanya tanpa kata tanya)
(   ii)   Ibu, bapa Ali telah meninggal dunia . (ayat penyata)

  Kesimpulannya, fonetik dan fonologi, alat-alat artikulasi dan artikulator serta fonem suprasegmental bahasa Melayu saling berkait rapat dengan kemahiran bertutur kita dalam kehidupan seharian. Sebaik-baiknya, kita sebagai manusia yang sempurna pertuturan dan pendengaran haruslah menghargai ciptaan-Nya.


Tugasan 2 :
3.0 Mentranskripsi satu petikan (150-200 patah perkataan) dengan menggunakan transkripsi fonetik yang dipetik daripada penulisan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Dewan Masyarakat. (10 %)

  Dalam hal ini, persatuan sukan tanah air mengambil berat segala perhatian yang diberikan oleh rakyat agar sentiasa menampilkan atlet yang berkualiti demi menjunjung maruah negara di pentas,  serta tidak mahu lagi atlet negara digelar jaguh kampung semata-mata. Jepun dan Korea misalnya, masing-masing sudah mampu melangkah ke peringkat separuh akhir bola sepak lelaki Olimpik, iaitu Korea muncul sebagai pasukan Asia yang pertama memenangi pingat gangsa dalam acara sukan Olimpik. Ketika dahulu, Malaysia juga pernah berada pada kedudukan yang sama ini, siapakah bakal menggantikan Chong Wei pada Olimpik 2016 andai beliau bersara ? Apakah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memberi jawapannya ?

[dalam] [hal] [ini], [pərsatuan] [sukan] [tanah] [ayer] [meŋambil] [bərat] [səgala] [pərhatian] [jaŋ] [dibərikan] [ɔleh] [raʔyat] [agar] [səntiasa] [mənampilkan] [atlət] [jaŋ] [bərkualiti] [dəmi] [mənjuŋ] [maruah] [negara] [di] [pəntas], [sərta] [tidaʔ] [mahu] [lagi] [atlət] [nəgara] [digəlora] [jaguh] [kampoŋ] [səmata-mata]. [ǰəpun] [dan] [korea] [misalɲa], [masiŋ-masiŋ] [sudah] [mampu] [melaŋkah] [kə] [pəriŋkat] [səparoh] [aʔhir] [bola] [sepak] [ləlaki] [olimpiʔ] [jaitu] [korea] [munčul] [səbagai] [pasukan] [asia] [jaŋ] [pərtama] [memenaŋi] [piŋat] [gaŋsa] [dalam] [ačara] [sukan] [olimpik]. [ʔətika] [dahulu] [melesia] [ǰuga] [pərnah] [bərada] [pada] [kədudukan] [jaŋ] [sama] [ini], [siapakah] [bakal] [meŋgantikan] [choŋ wéi] [pada] [olimpik] [dua ribu ənam bəlas] [andai] [bəliau] [bərsara]? [apakah] [pərsatuan] [badminton] [melesia] [BIM] [mampu] [məmbərikan] [jawapaɲa] ?

  Apa-apa pun sekurang-kurangnya bagi edisi sukan Olimpik kali ini seluruh rakyat Malaysia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei dan Pandelela kerana terus mengibarkan Jalur Gemilang di pentas Olimpik sekali gus berjaya meyatupadukan rakyat negara ini. Harapan negara disandarkan kepada atlet seterusnya agar terus mengikuti jejak langkah mereka berdua dan mengharapkan sukan terus dijadikan wahana yang terbaik untuk memupuk semangat perpaduan nasional.                                                                                                                       
[apa-apa] [pun] [səkuraŋ-kuraŋɲa] [bagi] [edisi] [sukan] [olimpik] [kali] [ini] [seluroh] [raʔyat] [melesia] [tidaʔ] [putus-putus] [meŋučapkan] [tərima] [kasih] [kəpada] [choŋ wéi] [dan] [pandelela] [kərana] [tərus] [meŋibarkan] [ǰalur] [gəmilaŋ] [di] [pəntas] [olimpiʔ] [səkali] [gus] [bərǰaya] [məɲatupadukan] [raʔyat] [nəgara] [ini]. [harapan] [nəgara] [disandarkan] [kəpada] [atlət] [sətərusnya] [agar] [tərus] [meŋikuti] [ǰəǰaʔ] [laŋʔah] [məreka] [bərdua] [dan] [məŋharapkan] [sukan] [tərus] [diǰadikan] [wahana] [jaŋ] [tərbaiʔ] [untoʔ] [məmupuʔ] [səmaŋat] [pərpaduan] [nasional].

Petikan teks asal dipetik daripada Noor Mohamad Shakil Hameed.(2012,Nov 11). Sukan Menyatukan Bangsa. Dewan Masyarakat. 50.38-39.







4.0 Rumusan
  Tuntasnya, fonetik dan fonologi bahasa Melayu merupakan salah satu bidang linguistik deskriptif yang melibatkan kajian terhadap bunyi-bunyi bahasa dan fungsi-fungsi sesuatu bahasa amnya dalam bahasa Melayu. Terdapat juga beberapa bahagian tubuh manusia yang berperanan sebagai alat artikulasi misalnya bibir, gusi, lidah, gigi bawah yang berada di bawah rongga mulut. Dengan menggunakan alat artikulasi dengan sebaik-baiknya, kita mampu berbahasa ataupun berinteraksi dengan menggunakan kepelbagaian bunyi seseorang itu dapat bertutur dengan sempurna dan mampu membanding bezakan sebutan huruf-huruf vokal dan konsonan.

  Salah satu objektif utama bidang fonetik dan fonologi bahasa Melayu ialah seseorang itu dapat menentukan sistem bunyi dan menentukan huruf-huruf serta fonem-fonem yang berkaitan  selain dapat menerbitkan satu sistem ejaan bagi sesuatu bahasa yang sempurna seperti bahasa Melayu.

  Terdapat banyak bunyi bahasa yang boleh dipertuturkan melalui alat artikulasi, namun begitu bukan semua bunyi itu penting. Kebanyakan bunyi dapat digolongkan kepada beberapa pecahan ataupun keluarga bunyi yang tertentu sahaja dan bilangan keluarga bunyi yang terhad kebiasaannya akan diguna secara berulang kali dan dalam gabungan  yang berbeza.

  Terdapat tiga jenis bunyi yang penting dalam bahasa Melayu iaitu  vokal, konsonan dan juga diftong. Hal ini kerana bunyi bahasa dapat digambarkan sebagai sesuatu yang kompleks dan berbea-beza.  Begitu juga dalam aspek Pengajaran dan Pembelajaran ( P & P ), bidang fonetik dan fonologi digunakan secara meluas khususnya dalam kemahiran ujian lisan yang dapat membantu murid dalam pertuturan dengan menggunakan sifat-sifat bunyi secara tepat misalnya unsur tekanan, nada, jeda dan panjang-pendek dalam bahasa Melayu.

  Walaubagaimanapun, seseorang guru itu perlu berusaha untuk mengajar bahasa Melayu dengan lebih berkesan amnya dalam bidang fonetik dan fonologi kepada para murid supaya setiap ujaran yang dilafazkan menepati standard sebutan yang baik.



5.0 Bibliografi
Abdullah Hassan.(2007). Linguistik Am.  Kuala Lumpur ; PTS Professional Sdn.Bhd.

Faridah Nazir & Maridah Alias. (2015). Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu. Petaling Jaya : Sasbadi Sdn.Bhd.

Kamus Dewan. (edisi ke-4). (2015). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Martabat Bahasa Lestari Bangsa. (2012).Bukit Mertajam: Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun.

Nik Safiah Karim et.al. (2015). Tatatabahasa Dewan (edisi ke-3). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Mohamad Shakil Hameed.(2012,Nov 11). Sukan Menyatukan Bangsa. Dewan Masyarakat. 50.38-39.

Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu I (edisi ke-2). Kuala Lumpur : Oxford Fajar Sdn.Bhd.

(t.p). (2016, Mac 27). Gunting lidah: Muhamad Alif semakin pulih, tetapi masih trauma. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/gunting-lidah-muhamad-alif-semakin-pulih-tetapi-masih-trauma-100075

(t.p).(2010,Julai 24). Perhatikan gigi si kecil, yuk… . Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, https://doktergigionline.wordpress.com/2010/07/24/perhatikan-gigi-si-kecil-yuk%E2%80%A6/

(t.p).(2013, Januari 3). Penyebab pergeseran pada posisi rahang. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://www.kesehatangigiku.com/penyebab-pergeseran-pada-posisi-rahang/

(t.p).(t.t). Senaman muka dan mulut. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://mrskeciksangat.blogspot.my/2014/11/senaman-muka-dan-mulut.html

Afinur.(2012, Ogos 13). Bunyi vokal. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://cheguuafinur.blogspot.my/2012/08/bunyi-vokal.html

Carol James. (t.t). BML Fonetik dan fonologi bahasa Melayu. Tarikh bahan dicerap pada Julai 18, 2016, daripada http://www.academia.edu/11775056/BML_3043_FONETIK_DAN_FONOLOGI_BAHASA_MELAYU

Januri. (2011, Julai 22). Artikulasi dan artikulator.Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016, daripada http://januri42.blogspot.my/2011/07/artikulasi-dan-artikulator.html

Khairuddin Mohamad. (2012, Ogos 8). Sistem bunyi bahasa Melayu. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://literasibahasamelayu.blogspot.my/2012_08_01_archive.html

Kirti. (2016, April 6). Gum health – Everything you need to know! .Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016 daripada, http://thecalcuttagirl.com/gum-health/

Mazita. (2012, Mei 5). Kanser tekak. Tarikh bahan dicerap pada Julai 20, 2016, daripada, http://earnosethroatdoc.blogspot.my/2012/05/kanser-tekak.html

Misz Ara. (2013, Januari 5). Perbezaan antara artikulasi dan artikulator. Tarikh bahan dicerap pada Julai 19, 2016, daripada, http://aranaz13.blogspot.my/2013/01/perbezaan-artikulasi-dan-artikulator.html

Murni Mohamat. (2013, April 3). Fonetik dan fonologi (vokal & konsonan). Tarikh bahan dicerap pada Julai 19, 2016, daripada, http://www.slideshare.net/murnibintimohamat/fonetik-dan-fonologi-vokal-konsonan











CONTOH TEMPLAT RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH) SEKOLAH RENDAH MUDAH BAGI GURU TERLATIH

السلام عليكم dan salam sejahtera. Ini merupakan contoh templat RPH yang saya gunakan sepanjang saya mengajar. Saya mengajar di sekolah renda...