CERPEN BERUK
Beruk!
Pukul
lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam
darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun.
Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak
ambil pusing hal itu.
Separuh
masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba
seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia
terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan
tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.
Semakin
lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari
sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun.
“Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan
bengis.
Murid
yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan
ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan
kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu
selalunya.
“Berdiri
di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja
tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi
meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat
menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia
datang lambat.
Tapi
kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar
walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.
“Mari
dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan.
Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia
cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak
disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai
yang dilaluinya.
Cikgu
Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian
muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak
berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah
pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal
kaki seluarnya yang lusuh itu.
“Kenapa
kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia
tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia
tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab
sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.
“Hei
beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.
Alias
diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu
sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur
dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.
“Pandang
sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang.
Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”
Dengan
suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus
rantai, cikgu!”.
“Haaa,
kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia
tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.
“Saya
cari, cikgu!”.
“Dah
jumpa?”.
Alias
angguk. Tersenyum.
“Sebab
itu kau datang lambat?”
Angguk
juga.
”Kau
lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”.
Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.
“Saya
sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.
Marah
Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia
menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.
“Kau
nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.
“Tidak
cikgu, saya…”
“Sudahlah!”
Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap
di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis.
Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.
Dengan
langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu.
Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.
“Cuba
kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!”
Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam
membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi
pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk,
kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak
matanya ada air yang bertakung.
Tiga
hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus
murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan
tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam
ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.
Beberapa
ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi
hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila
ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi
apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat
dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya
belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.
Tengah
hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia
meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak
sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu
dia selesai sendiri.
Untuk
sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh
dikatakan denai. Di kiri kanan lorong
itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang
lalu-lalang.
Kampung
tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di
hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah.
Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi
perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik
lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi
sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.
Alias
tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba
seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan
naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu
menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu
yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.
Sekali
lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias
berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.
“Alias
ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.
“Entah,
dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di
hujung kampung”.
“Dia
panjat pokok kelapa?”
“Takkk,
dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu
Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya
tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu
cermin bulat sebesar tempurung jantan.
“Dah
lama mak cik lumpuh?” tanyanya.
“Dah
hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.
Cikgu
Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada
Alias semakin tebal.
“Saya
datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.
“Entahlah.
Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.
Cikgu
Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba
dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji
kelapa.
“Haa,
itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu
menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan
pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya
setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.
Alias
yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada
orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu
Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa
yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan
Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.
Beruk
yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang
yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.
“Dia
lama cikgu sampai ?” tanya Alias.
“Baru
sekejap,” jawab Cikgu Sunan.
Keramahan
Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di
halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik
beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal
orang itu guru kepada tuannya.
Cikgu
Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya.
Dari lubangnya meleleh benda putih.
“Dekat
sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.
Alias
mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah.
Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan
kepalanya kepada Cikgu Sunan.
“Senget
sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya.
Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan
telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang
marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit
tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.
Cikgu
Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi
kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya
tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi
untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias
mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa,
lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma
itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.
Beruk
yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus
nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu.
Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.
Alias
terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah
di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah
sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.
Suasana
sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi.
Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.
Alias
tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya
berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun
lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia
tersedu-sedu.
“Terima
kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di
lengannya masih juga keluar.
“Cikgu
sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.
“Tak
mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun
dari rumah itu.
“Cikgu…”
“saya
minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.
“Tak
apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”
Alias
duduk. Kaku. Sedih.
“Lebih
baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.
“Saya
tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.
“Kenapa?”
“Beruk…
Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”
Dada
Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk
hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali
perhubungan nyawanya selama ini.
Dia
melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang
pintu lebih pilu lagi.
Azizi
Hj Abdullah
Dewan
Bahasa, Disember 1970