1.0 PENGENALAN
Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. ada
mengatakan bahawa solat merupakan perkara utama yang akan
dipersoalkan ke atas seorang individu pada hari kiamat kelak. Hal ini disebut
oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang bermaksud:
“Amalan yang mula-mula dihisab
(diperhitungkan) daripada seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Maka
berkata Allah S.W.T. kepada para malaikat-Nya, dan Ia Maha Mengetahui: ‘
Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya
lengkap sempurna, tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah
Allah S.W.T.: Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu
menyempurnakan solat fardhnya.’”.(Sumber: Riwayat Abu Daud: hadis sahih).
Baginda juga telah menyebutkan bahawa
solat sebagai tiang agama iaitu agama Islam tidak akan tertegak kecuali dengan
tertegaknya solat itu sendiri. Kita dapat melihat hal ini melalui peristiwa
Israk dan Mikraj, Baginda telah menerima perintah dari Allah S.W.T secara
langsung untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam tanpa melalui
perantaraan dari Malaikat Jibrail a.s. sekalipun.
Bukan itu sahaja, Nabi S.A.W. sendiri telah
memberi keizinan kepada ibu bapa untuk menyuruh anak-anak mereka mendirikan
solat apabila anak-anak tersebut mencecah umur tujuh tahun. Ibu bapa juga
diberi keizinan untuk memukul anak-anak asalkan tidak mencederakan anak-anak
mereka yang telah mencecah umur sepuluh tahun jika mereka tidak mendirikan solat serta berhak memisahkan
tempat tidur mereka. Berikut merupakan hadis sahih daripada ‘Amru bin Syu’aib
yang memberi penegasan dalam mendidik anak-anak melalui solat:
عن عمرو بن شُعَيْبٍ
عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ
عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.
Yang bermaksud, daripada ‘Amru bin
Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah S.A.W. “
Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan
pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta
pisahkan tempat tidur mereka.”
Pelbagai ibadah yang telah dikurniakan
kepada manusia, salah satunya ialah mendirikan ibadah solat yang sama sekali
tidak boleh ditinggalkan oleh kaum Adam yang Muslim iaitu yang telah baligh
sehingga hujung hayatnya. Manakala, bagi bayi yang baru sahaja dilahirkan,
disunatkan untuk melafazkan azan kepada bayi lelaki manakala bayi perempuan
disunatkan untuk melafazkan iqamat. Azan dan iqamat itu sendiri mengandungi
lafaz-lafaz yang mengajak manusia menunaikan solat.
Antara perkara wajib yang mesti disempurnakan
ketika jenazah hendak dimakamkan, waris atau keluarga hendaklah melaksanakan
solat jenazah ke atas jenazah tersebut. Oleh yang demikian, tidak hairanlah
sekiranya kita sering melihat dan mendengar kata-kata yang berbunyi seperti:
“ Sembahyanglah kamu sebelum kamu
disembahyangkan.”
Bukan itu sahaja, kita disarankan untuk
mendirikan solat sunat Tahiyyatul Masjid yang perlu didirikan ketika memasuki
masjid sebaiknya sebelum duduk. Solat ini amat digalakkan dan seseorang itu
juga digalakkan mendirikan solat sunat ini walaupun kutbah Jumaat sedang
dibacakan pada hari segala penghulu hari iaitu hari Jumaat.
Terdapat hadis daripada Jabir bin
Abdullah r.a. katanya:
Ketika Nabi S.A.W. sedang berkhutbah pada
hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah S.A.W. bertanya kepadanya:
“ Adakah engkau telah mendirikan
sembahyang Tahiyyatul Masjid, Wahai polan ! (Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
polan bermaksud sebutan kepada orang
yang tidak diketahui namanya). Orang itu menjawab: “ Belum ! .” Rasulullah
S.A.W. bersabda: “ Bangun dan sembahyanglah ! .” (Sahih Muslim).
Tuntasnya, ibadah solat sememangnya
mempunyai darjat yang sangat tinggi dan hebat di sisi Allah S.W.T. berdasarkan
kenyataan-kenyataan yang dikemukan.
Kehebatan solat itu sendiri telah diperkukuhkan lagi oleh satu
peringatan Nabi S.A.W. yang menyatakan bahawa jika diterima solat seseorang itu
oleh Allah S.W.T., maka Allah S.W.T. akan menerima seluruh amal ibadahnya. Dan
begitu sebaliknya. Justeru, kita hendaklah mendirikan solat sebanyak lima waktu
dalam sehari semalam berdasarkan Rukun
Islam walaupun kita sibuk menguruskan urusan duniawi dan sebagainya.
2.0 PENULISAN ILMIAH
Firman Allah Taala :
)Al-Ankabut: 45(
Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah
daripada melakukan keburukan dan kemungkaran.
Solat dapat didefinisikan kepada dua
bahagian iaitu dari sudut bahasa dan istilah. Solat dari sudut bahasa bermaksud
doa. Hal ini dapat dilihat secara jelas dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud
“…dan doakanlah mereka, kerana doamu merupakan ketenteraman bagi mereka.”
Manakala, dari sudut syarak, pula solat membawa maksud suatu ibadah
yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir
dan diakhiri dengan salam.
Menurut pandangan Abdulrahman al-Jaziri,
pengertian ini merangkumi semua solat yang dimulai dengan takbiratul ihram
dan disudahi dengan memberi salam. Hal ini membawa maksud ia tidak meliputi sujud tilwah ketika
mendengar ayat suci Al-Quran yang mengandungi sesuatu perkara yang dapat
menimbulkan sujud tersebut tanpa takbir mahupun salam. Golongan mahzab Hanafi
dan juga Syafie juga berpendapat bahawa sujud tilawah ini tidak dapat disebut
sebagai solat.
Seperti yang kita ketahui, mendirikan solat mempunyai darjat ketinggian dan betapa baiknya kedudukan
solat di sisi Allah S.W.T yang sudah pastinya mempunyai pelbagai hikmah yang
tersirat.
Solat sebenarnya boleh beperanan membentuk masyarakat yang
berkualiti sekiranya individu itu mendirikan solat seperti mana yang
diperintahkan oleh Allah S.W.T mengikut syarak dan rukun serta adab-adabnya
.
“Dirikanlah solat.
Sesungguhnya solat itu dapat mencegah (dirimu) dari perbuatan keji dan
mungkar.”
Dalam Surah Al-Ankabut 29:45
secara terang mengatakan solat itu dapat mencegah sesorang itu daripada melakukan
perkara keji dan mungkar. Ayat tersebut berbunyi:
Maksudnya:
“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu
al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (mampu)
mencegah dari (perkara) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah
(solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah-ibadah yang lain)…”
(Surah Al-Ankabut 29:45).
Firman Allah lagi:
Maksudnya: “ Wahai orang beriman, jadikanlah sabar dan solat
sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar”.
(Surah Al-Baqarah 2: 153)
Daripada maksud ayat-ayat di atas, pengertian ayat pertama membawa
maksud bahawa solat boleh dijadikan
sebagai sumber kekuatan diri seseorang
untuk melalui proses pembinaan modal insan atau role model. Seterusnya,
dalam pengertian ayat kedua pula, Allah telah menjelaskan lagi bahawa solat
merupakan sumber untuk mendapatkan pertolongan Allah, dalam beriktiar dalam
mencapai sesuatu yang dihajati,
cita-cita dan setiap perancangan yang telah ditetapkan terutamanya untuk kebahagiaan dan
kesejahteraan kita untuk sama ada di dunia atau akhirat kelak.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, katanya bahawa ia pernah
mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya :
“Bagaimana pendapat kamu kalau ada sebatang sungai di hadapan pintu
rumah salah seorang daripada kamu, setiap hari dia mandi dalamnya lima kali ?
Adakah masih tinggal kekotoran pada tubuhnya .” ? Para sahabat pun menjawab: “ Sudah tentu tidak tinggal
sesuatu pun daripada kekotoran. “ Baginda S.A.W menyambung: “ Maka
begitulah perumpamaan solat lima waktu, dengannya (dilakukan sebanyak lima kali
sehari dan semalam) Allah menghapuskan segala dosa-dosa.”
( Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Al Nasaie dan Ibnu
Majah daripada Uthaman r.a.)
Seterusnya, solat juga mampu
membentuk masyarakat yang berdisiplin memandangkan ibadah solat mempunyai
hikmah yang sangat istimewa amnya kepada individu, masyarakat dan negara. Allah S.W.T telah menetapkan waktu-waktu
khusus untuk mendirikan solat fardhu adalah sebanyak lima kali dalam sehari iaitu
solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.
Firman Allah S.W.T
“Dirikanlah olehmu solat, sesungguhnya solat itu satu kewajipan
atas orang Mukmin yang ditentukan waktu-waktunya.”
Jika kita berfikir dengan menggunakan logik akal, solat Subuh yang
kita sering kerjakan pada awal pagi dalam sekitar jam 5.00 pagi dapat mendidik
jiwa manusia supaya bangun awal dari tidur dan menjalankan tanggungjawab
sebagai khalifah di muka bumi Allah. Dalam azan Subuh juga diakhiri dengan
kalimat “ Solat itu lebih baik dari tidur“ sebanyak dua kali.
Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, seseorang individu yang
beragama Islam yang sudah mukallaf, wajib mendirikan ibadah solat apabila tiba
waktu solat kecuali wanita-wanita Muslim yang berada dalam keadaan uzur Syarie
misalnya haid atau nifas. Situasi sukar dan berbahaya misalnya semasa
peperangan, musibah banjir atau kemalangan juga tidak akan merubah hukum kepada
seseorang itu untuk diberikan kelonggaran meninggalkan solat. Janganlah kita
sesekali memberi alasan tidak mendirikan solat hanya kerana ingin menyelesaikan
masalah duniawi.
Oleh yang demikian, Islam telah memberikan banyak kelonggaran atau ruksah
kepada umatnya bagi mendirikan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan ke
atas Muslim dan Muslimat.Sebagai contoh, kesukaran untuk mendirikan ibadah solat bagi orang
yang bermusafir dapat dielakkan dengan melaksanakan solat Jamak dan Qasar
menurut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Bagi kaum Adam pula, solat
Jumaat telah ditentukan waktu dan harinya iaitu hanya hari Jumaat dan pada
waktu Zohor. Ia juga tidak boleh dilaksanakan di luar waktu yang telah
ditetapkan.
Solat Maghrib pula telah ditetapkan waktunya iaitu jangka masa yang
agak singkat iaitu dalam sekitar satu jam sahaja. Solat Maghrib bermula dengan terbenam atau
jatuhnya matahari dan berterusan sehingga cahaya merah tidak lagi kelihatan
kesannya. Kelewatan mendirikan solat pada waktunya tanpa uzur Syarie merupakan
satu dosa dan wajib digantikan pada waktu yang lain dengan kadar segera.
Daripada Ibnu Mas’ud Ra katanya,
Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W .: “ Apakah
amalan yang paling disukai oleh Allah Ta’ala ? “ Baginda S.A.W menjawab : “Solat pada
waktunya (tidak melengah-lengahkan solat)…”
(Hadis ini diriwayatkan oleh perawi-perawi ; Imam Ahmad, Imam
Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Al-Nasaie).
Kewajipan mendirikan solat pada waktu yang telah ditetapkan akan
menjadikan individu itu seorang yang menepati masa dan secara tidak langsung
individu yang mendirikan solat pada waktunya sebenarnya telah berada dalam
golongan yang sangat beruntung. Memandangkan solat subuh wajib didirikan pada
awal waktu, individu itu harus bangun awal. Setelah mendirikan kewajipan, Islam
juga telah menyarankan supaya individu tersebut tidak lagi menerusakan tidurnya
akan tetapi melakukan aktiviti yang bermanfaat. Dalam dunia realiti amnya dalam
konteks pekerjaan, kita juga dapat melihat sesuatu pekerjaan yang memerlukan
seseorang itu bangun awal lebih berjaya. Misalnya, para peniaga di pasar mentah
harus membuka premis perniagaannya pada awal waktu manakala penoreh getah juga
dapat mengumpul air susu getah dalam kuantiti yang banyak apabila torehan
dibuat pada awal pagi.
Sekiranya masa memainkan peranan yang sangat besar dalam
menguruskan kehidupan harian manusia, maka tidak hairanlah mengapa Allah S.W.T
sering kali mengangkat sumpah dengan masa dalam Al- Quran.
Dalam Surah Al’
Asr
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا
الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر(3)
Maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam
kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-‘Asr:1-3)
Dengan erti yang lebih difahami, mendirikan solat mampu melahirkan
masayarakat yang berdisiplin kemudian membentuk insan yang berkualiti kerana
menepati masa.
Bukan itu sahaja, solat juga
mampu melahirkan masyarakat yang bersih lagi suci. Seperti yang kita ketahui,
salah satu syarat sah ibadah solat ialah mendirikan solat dalam keadaan suci
dari hadas kecil dan hadas besar.
Nabi S.A.W juga telah bersabda:
Maksudnya: “ Tidak diterima solat tanpa wuduk “
(Riwayat Muslim)
Hal ini membawa pengertian iaitu sebelum kita mendirikan solat,
kita perlulah mengambil wuduk terlebih dahulu.
Para ulama telah bersepakat iaitu antara rukun wajib berwuduk ialah
membasuh wajah, kedua belah tangan, bahagian kepala dan kaki. Manakala amalan
sunat semasa berwuduk ialah berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung,
membasuh telinga dan sebagainya.
Mengenai amalan berwuduk, Nabi S.A.W sendriri pernah mengumpamakan
bahawa
“Orang yang tetap dan beristiqamah mengerjakan solat tidak
ubahnya seperti orang yang mempunyai rumah yang mengalir di hadapannya sebatang
sungai, yang mana kesempatan sering terbuka kepada tuan rumah untuk
membersihkan diri (mandi) lima kali dalam sehari sehingga tidak akan tinggal
kotoran di badan.”
Tambahan pula, Nabi S.A.W juga mengajak kita untuk membersihkan
gigi atau bersugi sebagai amalan sunat. Dari segi pemerhatian kesihatan dan
perubatan, individu yang kerap menjaga kebersihan gigi dapat mengelakkan
gigi individu itu dari sebarang kotoran mahupun kerosakan. Seperti yang kita
ketahui, gigi yang bersih akan membebaskan nafas yang segar lalu komunikasi
harian kita dapat dipermudahkan tanpa rasa kurang yakin.
Bagi amalan sunat solat Jumaat pula, Nabi S.A.W telah menyarankan
agar umatnya mandi sebelum mendirikan solat Jumaat bagi menunjukkan sebagai
penghormatan dan kesyukuran terhadap hari Jumaat yang mulia itu. Amalan ini
sememangnya akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar kepada si pelakunya.
Solat sebenarnya merupakan satu komunikasi yang sangat baik antara
Allah dan manusia memandangkan kita seharusnya menyelesaikan urusan dengan
Allah terlebih dahulu, kemudian barulah kita selesaikan urusan sesama manusia.
Bayangkan jika pengikat atau penghubung komunikasi kita sebagai hamba hanya
sekadar sambil lewa, mana mungkin pelindung kemungkaran itu dapat ditepis.
Justeru, kita sebaik-baiknya perlu mengamalkan amalan sunat misalnya memakai
wangi-wangian. Amalan-amalan sunat yang kita lakukan tidak dapat disangkal lagi
bahawa ia sebenarnya memberi kelebihan yang amat besar kepada sesiapa sahaja
yang ikhlas mengamalkannya bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk atau mengikut
secara buta tanpa mengetahui akan kebaikannya. Jika orang yang mendirikan solat
itu sendiri berada dalam keadaan yang bersih sama ada dari segi pakaian secara
automatiknya akan melambangkan sifat peribadinya yang mementingkan kebersihan.
Aspek kebersihan ini akan melahirkan hati dan pemikiran yang jitu
serta dapat melahirkan masyarakat dan membentuk sebuah negara yang berkualiti
tinggi.
Di samping itu, solat juga dapat melahirkan dan membentuk masyarakat
yang bermuafakat dan bersatu padu. Dalam konteks amalan ibadah Islam ialah
menunaikan solat secara berjemaah. Solat berjemaah juga merupakan amalan sunah
Nabi S.A.W dan nilai ganjaran pahalanya sebanyak 27 kali lebih banyak
berbanding dengan solat secara bersendirian.
Antara peraturan yang telah ditetapkan semasa mendirikan solat
berjemaah dapat memberi peringatan dan elemen-elemen perngajaran yang jelas
iaitu kehidupan bermasyarakat perlulah bernaung di bawah organisasi pentadbiran
atau pemimpin yang bersifat adil, jujur dan sentiasa terbuka untuk menerima
teguran. Ini sama sahaja dengan amalan solat berjemaah yang memberi keutamaan
individu yang ingin dilantik sebagai imam, biarlah individu itu dari kalangan
orang yang lebih tinggi ilmu pengetahuannya, baik bacaanya dan para jemaah
senang dengan kehadiran imam tersebut.
Pada masa yang sama juga, imam perlulah bersiap sedia untuk
menerima teguran dan diperbetulkan oleh para makmum sekiranya imam tersebut
melakukan kesalahan dalam semua rukun-rukun solat. Para jemaah juga janganlah
ingkar akan arahan imam, amnya makmum tidak boleh mendahului imam dalam solat.
Selain itu, penetapan arah yang utama atau kiblat ketiak mendirikan
solat perlulah kita mengambil iktibar dalam menjalani kehidupan seharian. Janganlah sesekali kita hilang tumpuan semasa
mendirikan solat supaya kita tidak membazirkan masa dan tenaga dengan
perkara-perkara yang langsung tiada membawa manfaat.
Menghadap ke arah kiblat iaitu ke arah Ka’abah yang berada di
Madinah semasa solat sepatutnya dijadikan sebagai satu sumber inspirasi kepada
umat yang beragama Islam.
Terdapat dalil menghadap ke kiblat:
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “ Dan darinya mana sahaja engkau keluar (untuk
mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram
(Ka’abah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Ka’abah itu adalah benar
daripada Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sesekali lalai akan segala apa
yang kamu lakukan.”
(Surah : al-Baqarah:149)
Kemudian, objektif akan mudah dicapai apabila muafakat dan
perpaduan terjalin dengan baik antara pemimpin dan rakyat. Misalnya, di negara
kita sendiri, Malaysia telah mengamalkan elemen permuafakatan dan perpaduan
dalam mencapai Wawasan 2020 tidak lama lagi. Tuntasnya, amalan solat secara berjemaah
akan melahirkan masyarakat yang berkualiti pada masa yang akan datang.
Setelah kita
memahami bagaimanakah solat itu dapat berperanan dalam masyarakat yang
berkualiti, kita juga harus memandang serius mengenai faktor-faktor segelintir
Umat Islam yang melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama masih melakukan
maksiat.
Daripada Abdullah
bin ‘Amru r.a., Rasulullah S.A.W pada suatu hari membicarakan mengenai solat.
Antara sabda Rasulullah S.A.W ialah
“ Sesiapa yang
menjaganya (solat) nescaya solat tersebut akan menjadi cahaya, dalil petunjuk
serta penyelamatnya di akhirat kelak, siapa yang tidak menjaganya nescaya ia
tidak akan memiliki cahayanya serta dalil petunjuk dan juga tidak ada untuknya
penyelamat, malah ia akan bersama Qarun, Firaun, Haman serta Ubai bin Khalaf.”
(Riwayat Imam Ahmad, Ibn Hibban dan Al- Darimi)
Antara faktor yang
menyebabkan segelintir umat Islam yang melaksanakan solat namun pada masa yang
sama masih melakukan maksiat ialah tidak khusyuk semasa mendirikan solat.
Akibatnya, solat yang didirikan tidak dapat dijiwai dengan khusyuk hanyalah
solat yang sia-sia, tidak memberikan apa-apa melainkan kepenatan.
Baginda Nabi S.A.W
ketika mengingatkan orang yang tidak menjaga hati dan khusyuk ketika bangun
menunaikan solat malam dengan katanya:
Maksudnya:” Dan
barangkali orang yang berdiri (solat di tengah malam) itu tidak diperolehinya
kecuali berjaga malam (penat dan letih).”
(Riwayat Ibn Hibban dan al-Tabrani)
Menurut Imam Abu Hamid al-Ghazali (wafat pada tahun
505 Hijrah) dan kebanyakan ulama bersepakat menyatakan pengertian hadis ini
ditujukan kepada orang yang lalai ketika solatnya. Cuba kita renungkan adakah
layak seorang hamba Allah S.W.T yang sedang berhadapan dan bermunajat kepada
Allah S.W.T tetapi hati dan mindanya terbang kepada selain Allah S.W.T . ?
Tuntutan khusyuk
dalam solat juga sangat dituntut seperti firman Allah S.W.T :
Maksudnya: “ Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku”
(Surah al-Taha:14)
Ibnu Kathir berkata,
ini berlaku kerana individu yang mendirikan solat itu tidak mengerti apa yang
diucapkan malah mereka bermain-main serta berpaling daripada melakukan kebaikan
yang ingin dikecapi.
Imam Malik
meriwayatkan dari Anas bin Malik ia berkata:
Rasulullah S.A.W
bersabda; “Itu adalah solat orang munafiq. Itu adalah solat orang yang
munafiq. Itu adalah solat orang yang munafiq. Ia duduk menunggu matahari,
hingga apabila matahari itu berada di antara dua tanduk syautan, kemudian ia
solat (bagaikan burung) mematuk empat kali (solatnya cepat). Mereka tidak
berzikir kepada Allah di dalamnya, kecuali sedikit sahaja”
(Hal yang sama diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan Nasai’e)
Justeru, kita hendaklah menghayati dan
fahamilah setiap bacaan, zikir, doa dan tasbih dalam solat agar solat yang kita
dirikan lebih khusyuk dan mendapat kemanisan semasa mendirikan solat.
Tambahan pula, terdapat individu yang
mendirikan solat hanya sekadar pergerakan zahir namun individu itu perlulah diikuti dengan penghayatan di dalam
jiwa seseorang. Sekiranya kita merujuk kembali kepada ayat surah Al-Ankabut:45
yang telah disebutkan sebelum ini, Allah S.W.T telah mengatakan bahawa solat
itu dapat mencegah daripada daripada perbuatan keji dan mungkar.
Allah S.W.T telah mengatakan “dengan
mengingati Allah itu adalah lebih besar”.
Ada individu yang hanya bersolat sekadar
menunjuk-nunjuk lantaran solatnya sekadar zahir dan sambil lewa. Oleh itu
pengisian solatnya hanya ibarat bola yang bulat tetapi kosong di dalamnya. Maka
solatnya gagal menepis gejala maksiat yang mendatang. Dewasa ini ramai umat
yang bersolat tetapi jiwa dan rohani mereka tetap lemah dan mudah diratah oleh
godaan syaitan yang dilaknat Allah S.W.T. Secara tidak langsung memberi
gambaran kepada kita bahawa Allah S.W.T. telah meletakkan proses hati dalam
berhubung dengan Allah itu faktor yang amat penting dalam maksud pensyariatan
solat.
Sebab itu perbuatan solat secara zahirnya sahaja bukan penentu
jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini
menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara holistik. Adakah
solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa dalam solat, malas bila mengerjakan,
solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk
berpura-pura dengan maksud riak. Solat sedemikian sudah pasti tidak seutuh
benteng untuk mencegah kemungkaran.
Faktor yang seterusnya ialah solat yang dilengah-lengahkan dengan
sengaja. Di dalam al-Quran menyebut perbuatan mungkar tidak mungkin dapat
ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata. Surah
al-Maa’un ayat ke-4 yang bermaksud:
“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang
solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.”
Ibnu Abbas
memberikan gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka di sini ialah
orang-orang yang munafiq. Bersolat ketika di hadapan khalayak ramai tetapi
tidak mengerjakannya dalam keadaan bersendirian. Pendapat mengenai ayat ini
ditegaskan kepada orang yang melengahkan solat.
Di dalam kitab Al-Durr
Al-Manthur karangan al-Imam As-Suyuthi mengatakan bahawa daripada Sa’ad B.
Abi Waqash telah berkata: Aku bertanya kepada Nabi S.A.W tentang FirmanNya:” (Iaitu)
orang-orang yang lalai dari (tentang) solat mereka ”Nabi S.A.W telah bersabda:
“ Mereka ialah orang-orang yang
melewat-lewatkan solat dari waktunya. Kita dapat pastikan bahawa salah satu
ciri-ciri orang yang munafiq ialah suka melambat-lambatkan solat sehingga di
hujung waktu”.
Jika faktor melengah-lengahkan solat
menjadikan individu itu gagal membina benteng menangkis godaan maksiat maka
solat tergesa-gesa juga adalah puncanya. Seseorang yang melakukan solat secara
tergesa-gesa akhirnya akan melakukannya dengan remeh-temeh. Ia dilakukan
sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini jelas pada sambungan ayat sebentar tadi
iaitu “ Mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali”.
Ibnu Kathir berkata, “Ini kerana
ketika solat mereka tidak khusyuk malah tidak mengerti apa yang diucapkan.
Bahkan dalam solat mereka bermain-main serta berpaling dari kebaikan yang ingin
dicapai.”
Begitu juga terdapat hadis yang
menyatakan bahawa memang benar kita tidak mampu melihat Allah dalam solat,
namun kita hanya dapat meraasakan kehadiran Allah S.W.T setiap saat.
“Beribadahlah kamu seolah-olah kamu
melihat Allah S.W.T. Jika kamu tak mampu melihatnya (pada realitinya, kita
memang tidak dapat melihatNya, maka yakinlah Allah S.W.T melihat dirimu ! “
(Al-hadis)
Kesimpulannya amalan solat mestilah
diamalkan mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Islam dan bertepatan
dengan sifat solat Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai hamba Allah S.W.T. yang sangat
kerdil, kita boleh mencegah kemungkaran dan kemaksiatan tetapi bukan solat yang
zahirnya sahaja. Pengisian jiwa dan rohani mestilah seiring dengan pergerakan
anggota badan. Solat adalah bukti cinta kita kepada Allah S.W.T. dan solat
mestilah ada hubungan batin antara manusia dengan Allah S.W.T. Cinta kepada
Allah S.W.T. adalah fitrah hati. Allah S.W.T. sahaja memiliki apa jua keinginan
kita. Keinginan menolak kemungkaran dan kemaksiatan tidak mustahil dapat digapai
jika hubungan batin (jiwa dan rohani) dengan Allah S.W.T. dapat dilaksanakan
dalam solat iaitu solat yang penuh dengan tatacara yang menepati syariat Islam.
Wallahu a’lamu bis-sawab wa
ilaihilmarju’u wal-ma’ab
3.0 RUMUSAN
Tuntasnya, setiap manusia yang beragama
Islam bukan sahaja melaksanaka solat sebagai rutin harian namun jadikanlah
solat iru sebagai suatu amanah dan tanggungjawab seorang Muslim sementara nyawa
dikandung badan,
Bukan itu sahaja, kita perlulah mula
membaiki kesalahan yang dilakukan amnya dalam pergerakan solat itu sendiri.
Seperti yang kita ketahui, mendirikan
solat itu bukan hanya sekadar pergerakan sahaja namun solat yang kita semua
dirikan merupakan pegangan dalam Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat
lima waktu sehari semalam. Rukun Islam yang kedua inilah juga menjadi pegangan
Nabi Muhammad S.A.W yang telah dijanjikan di hadapan Allah S.W.T.
Tambahan pula, solat juga akan melahirkan
masyarakat yang berpenampilan yang hebat dan berwibawa dari pelbagai
perspektif. Ini kerana solat merupakan medium utama dalam proses atau kaedah
pebersihan jiwa daripada segala perkara yang merosakkan akhlak.
Ironinya, solat merupakan kunci ataupun
inti dari segala ibadah yang merupakan tiang agama bagi seseorang yang beragama
Islam sehingga akan memberikan ketenteraman jiwa. Hanya orang yang beriman
kepada Allah Taala sahaja yang akan dapat mendirikan solat yang berkualiti.
Hasli daripadanya, sudah pasti keluhuran budi dan personaliti seseorang itu
akan membawa kepada sifar ketenangan iaitu klimaks bagi segala kejayaan di
dunia mahupun di akhirat kelak.
Wallahu a’lamu bis-sawab wa
ilaihilmarju’u wal-ma’ab
4.0 REFLEKSI
Alhamdulilah, sejuta rasa kesyukuran saya
panjatkan ke hadrat Allah S.W.T, kerana dengan izin dan rahmat serta limpah
kurnia-Nya dapatlah saya menyiapkan tugasan projek bagi subjek GPI 1083
Pengajian Islam. Sebelum beralih ke arah konteks refleksi, izinkan saya
mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada pensyarah berpengalaman
subjek GPI 1083, Ustaz Mohd Basil bin Dahmahuri kerana telah memberikan tunjuk
ajar sepanjang tugasan ini dijalankan
Tidak lupa juga rakan-rakan sekelas yang
terdiri daripada opsyen Pengajian Melayu dan Muzik kerana sudi bertukar-tukar
maklumat semasa proses menyiapkan tugasan ini.
Sesungguhnya, tugasan ini sedikit
sebanyak telah memberikan satu impak yang mendalam kepada diri saya amnya.
Berdasarkan kesemua penulisan ilmiah ini, saya dapati pelbagai cara untuk
mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran dan telah membuka minda saya
akan kepentingan solat itu sendiri. Saya berpendapat bahawa tugasan ini memang
amat berguna sekali bagi tujuan masa kini dan masa akan datang.
Walau bagaimanapun, sedikit kekangan
telah saya lalui bagi menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah, pencarian
maklumat menggunakan enjin carian kebanyakannya dalam bahasa Indonesia. Hal ini
sedikit sebanyak telah membuatkan saya menterjemah semula bahasa Indonesia itu
kepada bahasa Melayu standard dengan lebih teliti. Dengan adanya bahan-bahan
tersebut, ianya telah membantu dan melancarkan proses menyiapkan tugasan ini.
Secara holistiknya, tugasan ini telah
menambah satu lagi ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada saya sebagai seorang
bakal pendidik yang harus menguasai pelbagai ilmu walaupun subjek major saya
merupakan Pengajian Melayu dan diaplikasikan sepanjang hayat.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan
juataan terima kasih kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung
mahupun tidak langsung. Sekian terima kasih.
Assalamualaikum…
5.0 BIBLIOGRAFI
·
Bahan rujukan dari buku
Khalid, Syeikh Amru & Nasih Al-Ulwan,
Syeikh Sulaiman. (2009). Solat Malam
Menggamit Kedamaian.( Tolha Al Khairi, Syeikh Abu Muhammad,
terj.).Kuala Lumpur : Al Bayan.
Rushon S.Rauf & Muhammad
Arif Muhammad Syah.(t.t) Smart solat for
teens. Kuala Lumpur : Synergy Media.
Zaharuddin Abd. Rahman. (2008). Formula
Solat Sempurna . (Edisi Pertama). Puchong
: Telaga Biru Sdn. Bhd.
·
Bahan rujukan dari internet
Abadin Arinen.
(2013). Peranan solat dalam pembentukan masyarakat berkualiti. Dicapai
pada 12 Februari 2016 daripada file:///C:/Users/ILHAM/Desktop/PERANAN%20SOLAT%20DALAM%20PEMBENTUKAN%20MASYARAKAT%20BERKUALITI.html
Asyaf. (t.t). Solat
tapi masih buat maksiat. Dicapai pada 12 Februari 2016, daripada file:///C:/Users/ILHAM/Desktop/SOLAT%20TETAPI%20MASIH%20BUAT%20MAKSIAT%20_%20Tinta%20Imam%20Muda%20Asyraf.html
Lafadz adzan subuh
dan terjemahannya.(t.t
& t.p). Dicapai pada 14 Februari 2016 daripada http://www.doamuslim.com/lafadz-adzan-subuh/
Pengertian solat. (t.t & t.p). Dicapai pada 15
Februari 2016 daripada http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/ibadat/solat.htm
Ummi Munaliza.(2010).Kenapa
orang Islam solat menghadap Kaabah?. Dicapai pada 14 Februari 2016 daripada
http://halaqah.net/v10/index.php?topic=10547.0
·
Bahan rujukan dari Kamus
Noresah Baharom et
al. (2007). Kamus Dewan (edisi ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
·
Bahan rujukan dari Majalah
Badrul Hisham Shari. (2011, Jun). Solat
ikut mood dan solat ikut-ikutan. Majalah Anis, 166: 52-53.
Muhammad
Hafiz Salleh,(2013). Indikator solat munafik. Majalah Iman, 48: 22-24.