Wednesday, September 21, 2016

GPI 1083 : Bagaimanakah solat berperanan dalam membentuk masyarakat berkualiti & faktor-faktor segelintir Umat Islam yang melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama masih melakukan maksiat


1.0 PENGENALAN

Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. ada mengatakan bahawa solat merupakan perkara utama yang akan dipersoalkan ke atas seorang individu pada hari kiamat kelak. Hal ini disebut oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang bermaksud:

Amalan yang mula-mula dihisab (diperhitungkan) daripada seseorang hamba pada hari kiamat ialah solat. Maka berkata Allah S.W.T. kepada para malaikat-Nya, dan Ia Maha Mengetahui: ‘ Telitilah pada solat hamba-Ku, adakah ia sempurnakannya atau kurang. Sekiranya lengkap sempurna, tulislah sempurna, kiranya ada yang kurang, maka berkatalah Allah S.W.T.: Telitilah sekiranya terdapat solat-solat sunatnya bagi membantu menyempurnakan solat fardhnya.’”.(Sumber: Riwayat Abu Daud: hadis sahih).

Baginda juga telah menyebutkan bahawa solat sebagai tiang agama iaitu agama Islam tidak akan tertegak kecuali dengan tertegaknya solat itu sendiri. Kita dapat melihat hal ini melalui peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda telah menerima perintah dari Allah S.W.T secara langsung untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam tanpa melalui perantaraan dari Malaikat Jibrail a.s. sekalipun.

 Bukan itu sahaja, Nabi S.A.W. sendiri telah memberi keizinan kepada ibu bapa untuk menyuruh anak-anak mereka mendirikan solat apabila anak-anak tersebut mencecah umur tujuh tahun. Ibu bapa juga diberi keizinan untuk memukul anak-anak asalkan tidak mencederakan anak-anak mereka yang telah mencecah umur sepuluh tahun jika mereka  tidak mendirikan solat serta berhak memisahkan tempat tidur mereka. Berikut merupakan hadis sahih daripada ‘Amru bin Syu’aib yang memberi penegasan dalam mendidik anak-anak melalui solat:

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.

Yang bermaksud, daripada ‘Amru bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah S.A.W. “ Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.”

Pelbagai ibadah yang telah dikurniakan kepada manusia, salah satunya ialah mendirikan ibadah solat yang sama sekali tidak boleh ditinggalkan oleh kaum Adam yang Muslim iaitu yang telah baligh sehingga hujung hayatnya. Manakala, bagi bayi yang baru sahaja dilahirkan, disunatkan untuk melafazkan azan kepada bayi lelaki manakala bayi perempuan disunatkan untuk melafazkan iqamat. Azan dan iqamat itu sendiri mengandungi lafaz-lafaz yang mengajak manusia menunaikan solat.

Antara perkara wajib yang mesti disempurnakan ketika jenazah hendak dimakamkan, waris atau keluarga hendaklah melaksanakan solat jenazah ke atas jenazah tersebut. Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya kita sering melihat dan mendengar kata-kata yang berbunyi seperti:

Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan.”

Bukan itu sahaja, kita disarankan untuk mendirikan solat sunat Tahiyyatul Masjid yang perlu didirikan ketika memasuki masjid sebaiknya sebelum duduk. Solat ini amat digalakkan dan seseorang itu juga digalakkan mendirikan solat sunat ini walaupun kutbah Jumaat sedang dibacakan pada hari segala penghulu hari iaitu hari Jumaat.

Terdapat hadis daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya:
Ketika Nabi S.A.W. sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah S.A.W. bertanya kepadanya:

Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatul Masjid, Wahai polan ! (Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, polan bermaksud sebutan kepada orang  yang tidak diketahui namanya). Orang itu menjawab: “ Belum ! .” Rasulullah S.A.W. bersabda: “ Bangun dan sembahyanglah ! .” (Sahih Muslim).

Tuntasnya, ibadah solat sememangnya mempunyai darjat yang sangat tinggi dan hebat di sisi Allah S.W.T. berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikemukan.  Kehebatan solat itu sendiri telah diperkukuhkan lagi oleh satu peringatan Nabi S.A.W. yang menyatakan bahawa jika diterima solat seseorang itu oleh Allah S.W.T., maka Allah S.W.T. akan menerima seluruh amal ibadahnya. Dan begitu sebaliknya. Justeru, kita hendaklah mendirikan solat sebanyak lima waktu dalam sehari semalam berdasarkan  Rukun Islam walaupun kita sibuk menguruskan urusan duniawi dan sebagainya.


2.0 PENULISAN ILMIAH
Firman Allah Taala :

)Al-Ankabut: 45(
Maksudnya: Sesungguhnya solat itu mencegah daripada melakukan keburukan dan kemungkaran.

Solat dapat didefinisikan kepada dua bahagian iaitu dari sudut bahasa dan istilah. Solat dari sudut bahasa bermaksud doa. Hal ini dapat dilihat secara jelas dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud “…dan doakanlah mereka, kerana doamu merupakan ketenteraman bagi mereka.” Manakala, dari sudut  syarak, pula solat membawa maksud suatu ibadah yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

Menurut pandangan Abdulrahman al-Jaziri, pengertian ini merangkumi semua solat yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan memberi salam. Hal ini membawa maksud  ia tidak meliputi sujud tilwah ketika mendengar ayat suci Al-Quran yang mengandungi sesuatu perkara yang dapat menimbulkan sujud tersebut tanpa takbir mahupun salam. Golongan mahzab Hanafi dan juga Syafie juga berpendapat bahawa sujud tilawah ini tidak dapat disebut sebagai solat.

Seperti yang kita ketahui, mendirikan solat mempunyai  darjat ketinggian dan betapa baiknya kedudukan solat di sisi Allah S.W.T yang sudah pastinya mempunyai pelbagai hikmah yang tersirat.

Solat sebenarnya boleh beperanan membentuk masyarakat yang berkualiti sekiranya individu itu mendirikan solat seperti mana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T mengikut syarak dan rukun serta adab-adabnya
.
 “Dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah (dirimu) dari perbuatan keji dan mungkar.”

Dalam  Surah Al-Ankabut 29:45 secara terang mengatakan solat itu dapat mencegah sesorang itu daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Ayat tersebut berbunyi:
Maksudnya: 
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (mampu) mencegah dari (perkara) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadah-ibadah yang lain)…”
(Surah Al-Ankabut 29:45).
Firman Allah lagi:
Maksudnya: “ Wahai orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar”.
(Surah Al-Baqarah 2: 153)
Daripada maksud ayat-ayat di atas, pengertian ayat pertama membawa maksud  bahawa solat boleh dijadikan sebagai sumber  kekuatan diri seseorang untuk melalui proses pembinaan modal insan atau role model. Seterusnya, dalam pengertian ayat kedua pula, Allah telah menjelaskan lagi bahawa solat merupakan sumber untuk mendapatkan pertolongan Allah, dalam beriktiar dalam mencapai  sesuatu yang dihajati, cita-cita dan setiap perancangan yang telah ditetapkan  terutamanya untuk kebahagiaan dan kesejahteraan kita untuk sama ada di dunia atau akhirat kelak.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, katanya bahawa ia pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya :

“Bagaimana pendapat kamu kalau ada sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, setiap hari dia mandi dalamnya lima kali ? Adakah masih tinggal kekotoran pada tubuhnya .” ? Para sahabat pun menjawab: “ Sudah tentu tidak tinggal sesuatu pun daripada kekotoran. “ Baginda S.A.W menyambung: “ Maka begitulah perumpamaan solat lima waktu, dengannya (dilakukan sebanyak lima kali sehari dan semalam) Allah menghapuskan segala dosa-dosa.”

( Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Al Nasaie dan Ibnu Majah daripada Uthaman r.a.)
Seterusnya,  solat juga mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin memandangkan ibadah solat mempunyai hikmah yang sangat istimewa amnya kepada individu, masyarakat dan negara.  Allah S.W.T telah menetapkan waktu-waktu khusus untuk mendirikan solat fardhu adalah sebanyak lima kali dalam sehari iaitu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Firman Allah S.W.T
Dirikanlah olehmu solat, sesungguhnya solat itu satu kewajipan atas orang Mukmin yang ditentukan waktu-waktunya.”

Jika kita berfikir dengan menggunakan logik akal, solat Subuh yang kita sering kerjakan pada awal pagi dalam sekitar jam 5.00 pagi dapat mendidik jiwa manusia supaya bangun awal dari tidur dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah. Dalam azan Subuh juga diakhiri dengan kalimat “ Solat itu lebih baik dari tidur“ sebanyak dua kali.

Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, seseorang individu yang beragama Islam yang sudah mukallaf, wajib mendirikan ibadah solat apabila tiba waktu solat kecuali wanita-wanita Muslim yang berada dalam keadaan uzur Syarie misalnya haid atau nifas. Situasi sukar dan berbahaya misalnya semasa peperangan, musibah banjir atau kemalangan juga tidak akan merubah hukum kepada seseorang itu untuk diberikan kelonggaran meninggalkan solat. Janganlah kita sesekali memberi alasan tidak mendirikan solat hanya kerana ingin menyelesaikan masalah duniawi.

Oleh yang demikian, Islam telah memberikan banyak kelonggaran atau ruksah kepada umatnya bagi mendirikan kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan ke atas Muslim dan Muslimat.Sebagai contoh, kesukaran untuk mendirikan ibadah solat bagi orang yang bermusafir dapat dielakkan dengan melaksanakan solat Jamak dan Qasar menurut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan. Bagi kaum Adam pula, solat Jumaat telah ditentukan waktu dan harinya iaitu hanya hari Jumaat dan pada waktu Zohor. Ia juga tidak boleh dilaksanakan di luar waktu yang telah ditetapkan.

Solat Maghrib pula telah ditetapkan waktunya iaitu jangka masa yang agak singkat iaitu dalam sekitar satu jam sahaja.  Solat Maghrib bermula dengan terbenam atau jatuhnya matahari dan berterusan sehingga cahaya merah tidak lagi kelihatan kesannya. Kelewatan mendirikan solat pada waktunya tanpa uzur Syarie merupakan satu dosa dan wajib digantikan pada waktu yang lain dengan kadar segera.
Daripada Ibnu Mas’ud Ra katanya,

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W .: “ Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah Ta’ala ? “  Baginda S.A.W menjawab : “Solat pada waktunya (tidak melengah-lengahkan solat)…”

(Hadis ini diriwayatkan oleh perawi-perawi ; Imam Ahmad, Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Al-Nasaie).

Kewajipan mendirikan solat pada waktu yang telah ditetapkan akan menjadikan individu itu seorang yang menepati masa dan secara tidak langsung individu yang mendirikan solat pada waktunya sebenarnya telah berada dalam golongan yang sangat beruntung. Memandangkan solat subuh wajib didirikan pada awal waktu, individu itu harus bangun awal. Setelah mendirikan kewajipan, Islam juga telah menyarankan supaya individu tersebut tidak lagi menerusakan tidurnya akan tetapi melakukan aktiviti yang bermanfaat. Dalam dunia realiti amnya dalam konteks pekerjaan, kita juga dapat melihat sesuatu pekerjaan yang memerlukan seseorang itu bangun awal lebih berjaya. Misalnya, para peniaga di pasar mentah harus membuka premis perniagaannya pada awal waktu manakala penoreh getah juga dapat mengumpul air susu getah dalam kuantiti yang banyak apabila torehan dibuat pada awal pagi.

Sekiranya masa memainkan peranan yang sangat besar dalam menguruskan kehidupan harian manusia, maka tidak hairanlah mengapa Allah S.W.T sering kali mengangkat sumpah dengan masa dalam Al- Quran.

Dalam Surah Al’ Asr
وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْر(3)
Maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-‘Asr:1-3)
Dengan erti yang lebih difahami, mendirikan solat mampu melahirkan masayarakat yang berdisiplin kemudian membentuk insan yang berkualiti kerana menepati masa.
Bukan itu sahaja,  solat juga mampu melahirkan masyarakat yang bersih lagi suci. Seperti yang kita ketahui, salah satu syarat sah ibadah solat ialah mendirikan solat dalam keadaan suci dari hadas kecil dan hadas besar.
Nabi S.A.W juga telah bersabda:

Maksudnya: “ Tidak diterima solat tanpa wuduk
(Riwayat Muslim)
Hal ini membawa pengertian iaitu sebelum kita mendirikan solat, kita perlulah mengambil wuduk terlebih dahulu.  Para ulama telah bersepakat iaitu antara rukun wajib berwuduk ialah membasuh wajah, kedua belah tangan, bahagian kepala dan kaki. Manakala amalan sunat semasa berwuduk ialah berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh telinga dan sebagainya. 

Mengenai amalan berwuduk, Nabi S.A.W sendriri pernah mengumpamakan bahawa

Orang yang tetap dan beristiqamah mengerjakan solat tidak ubahnya seperti orang yang mempunyai rumah yang mengalir di hadapannya sebatang sungai, yang mana kesempatan sering terbuka kepada tuan rumah untuk membersihkan diri (mandi) lima kali dalam sehari sehingga tidak akan tinggal kotoran di badan.”

Tambahan pula, Nabi S.A.W juga mengajak kita untuk membersihkan gigi atau bersugi sebagai amalan sunat. Dari segi pemerhatian kesihatan dan  perubatan, individu yang kerap menjaga kebersihan gigi dapat mengelakkan gigi individu itu dari sebarang kotoran mahupun kerosakan. Seperti yang kita ketahui, gigi yang bersih akan membebaskan nafas yang segar lalu komunikasi harian kita dapat dipermudahkan tanpa rasa kurang yakin.

Bagi amalan sunat solat Jumaat pula, Nabi S.A.W telah menyarankan agar umatnya mandi sebelum mendirikan solat Jumaat bagi menunjukkan sebagai penghormatan dan kesyukuran terhadap hari Jumaat yang mulia itu. Amalan ini sememangnya akan mendatangkan ganjaran pahala yang besar kepada si pelakunya.

Solat sebenarnya merupakan satu komunikasi yang sangat baik antara Allah dan manusia memandangkan kita seharusnya menyelesaikan urusan dengan Allah terlebih dahulu, kemudian barulah kita selesaikan urusan sesama manusia. Bayangkan jika pengikat atau penghubung komunikasi kita sebagai hamba hanya sekadar sambil lewa, mana mungkin pelindung kemungkaran itu dapat ditepis. Justeru, kita sebaik-baiknya perlu mengamalkan amalan sunat misalnya memakai wangi-wangian. Amalan-amalan sunat yang kita lakukan tidak dapat disangkal lagi bahawa ia sebenarnya memberi kelebihan yang amat besar kepada sesiapa sahaja yang ikhlas mengamalkannya bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk atau mengikut secara buta tanpa mengetahui akan kebaikannya. Jika orang yang mendirikan solat itu sendiri berada dalam keadaan yang bersih sama ada dari segi pakaian secara automatiknya akan melambangkan sifat peribadinya yang mementingkan kebersihan.

Aspek kebersihan ini akan melahirkan hati dan pemikiran yang jitu serta dapat melahirkan masyarakat dan membentuk sebuah negara yang berkualiti tinggi.

Di samping itu, solat juga dapat melahirkan dan membentuk masyarakat yang bermuafakat dan bersatu padu. Dalam konteks amalan ibadah Islam ialah menunaikan solat secara berjemaah. Solat berjemaah juga merupakan amalan sunah Nabi S.A.W dan nilai ganjaran pahalanya sebanyak 27 kali lebih banyak berbanding dengan solat secara bersendirian.

Antara peraturan yang telah ditetapkan semasa mendirikan solat berjemaah dapat memberi peringatan dan elemen-elemen perngajaran yang jelas iaitu kehidupan bermasyarakat perlulah bernaung di bawah organisasi pentadbiran atau pemimpin yang bersifat adil, jujur dan sentiasa terbuka untuk menerima teguran. Ini sama sahaja dengan amalan solat berjemaah yang memberi keutamaan individu yang ingin dilantik sebagai imam, biarlah individu itu dari kalangan orang yang lebih tinggi ilmu pengetahuannya, baik bacaanya dan para jemaah senang dengan kehadiran imam tersebut.

Pada masa yang sama juga, imam perlulah bersiap sedia untuk menerima teguran dan diperbetulkan oleh para makmum sekiranya imam tersebut melakukan kesalahan dalam semua rukun-rukun solat. Para jemaah juga janganlah ingkar akan arahan imam, amnya makmum tidak boleh mendahului imam dalam solat.

Selain itu, penetapan arah yang utama atau kiblat ketiak mendirikan solat perlulah kita mengambil iktibar dalam menjalani kehidupan seharian.  Janganlah sesekali kita hilang tumpuan semasa mendirikan solat supaya kita tidak membazirkan masa dan tenaga dengan perkara-perkara yang langsung tiada membawa manfaat.

Menghadap ke arah kiblat iaitu ke arah Ka’abah yang berada di Madinah semasa solat sepatutnya dijadikan sebagai satu sumber inspirasi kepada umat yang beragama Islam.
Terdapat dalil menghadap ke kiblat:

Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “ Dan darinya mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram (Ka’abah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Ka’abah itu adalah benar daripada Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sesekali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.” 
(Surah : al-Baqarah:149)
Kemudian, objektif akan mudah dicapai apabila muafakat dan perpaduan terjalin dengan baik antara pemimpin dan rakyat. Misalnya, di negara kita sendiri, Malaysia telah mengamalkan elemen permuafakatan dan perpaduan dalam mencapai Wawasan 2020 tidak lama lagi. Tuntasnya, amalan solat secara berjemaah akan melahirkan masyarakat yang berkualiti pada masa yang akan datang.

Setelah kita memahami bagaimanakah solat itu dapat berperanan dalam masyarakat yang berkualiti, kita juga harus memandang serius mengenai faktor-faktor segelintir Umat Islam yang melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama masih melakukan maksiat.
Daripada Abdullah bin ‘Amru r.a., Rasulullah S.A.W pada suatu hari membicarakan mengenai solat. Antara sabda Rasulullah S.A.W ialah

Sesiapa yang menjaganya (solat) nescaya solat tersebut akan menjadi cahaya, dalil petunjuk serta penyelamatnya di akhirat kelak, siapa yang tidak menjaganya nescaya ia tidak akan memiliki cahayanya serta dalil petunjuk dan juga tidak ada untuknya penyelamat, malah ia akan bersama Qarun, Firaun, Haman serta Ubai bin Khalaf.”
(Riwayat Imam Ahmad, Ibn Hibban dan Al- Darimi)

Antara faktor yang menyebabkan segelintir umat Islam yang melaksanakan solat namun pada masa yang sama masih melakukan maksiat ialah tidak khusyuk semasa mendirikan solat. Akibatnya, solat yang didirikan tidak dapat dijiwai dengan khusyuk hanyalah solat yang sia-sia, tidak memberikan apa-apa melainkan kepenatan.

Baginda Nabi S.A.W ketika mengingatkan orang yang tidak menjaga hati dan khusyuk ketika bangun menunaikan solat malam dengan katanya:

Maksudnya:” Dan barangkali orang yang berdiri (solat di tengah malam) itu tidak diperolehinya kecuali berjaga malam (penat dan letih).”
(Riwayat Ibn Hibban dan al-Tabrani)

Menurut  Imam Abu Hamid al-Ghazali (wafat pada tahun 505 Hijrah) dan kebanyakan ulama bersepakat menyatakan pengertian hadis ini ditujukan kepada orang yang lalai ketika solatnya. Cuba kita renungkan adakah layak seorang hamba Allah S.W.T yang sedang berhadapan dan bermunajat kepada Allah S.W.T tetapi hati dan mindanya terbang kepada selain Allah S.W.T . ?
Tuntutan khusyuk dalam solat juga sangat dituntut seperti firman Allah S.W.T :
Maksudnya: “ Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku”
(Surah al-Taha:14)
Ibnu Kathir berkata, ini berlaku kerana individu yang mendirikan solat itu tidak mengerti apa yang diucapkan malah mereka bermain-main serta berpaling daripada melakukan kebaikan yang ingin dikecapi.
Imam Malik meriwayatkan dari Anas bin Malik ia berkata:

Rasulullah S.A.W bersabda; “Itu adalah solat orang munafiq. Itu adalah solat orang yang munafiq. Itu adalah solat orang yang munafiq. Ia duduk menunggu matahari, hingga apabila matahari itu berada di antara dua tanduk syautan, kemudian ia solat (bagaikan burung) mematuk empat kali (solatnya cepat). Mereka tidak berzikir kepada Allah di dalamnya, kecuali sedikit sahaja”
(Hal yang sama diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan Nasai’e)

Justeru, kita hendaklah menghayati dan fahamilah setiap bacaan, zikir, doa dan tasbih dalam solat agar solat yang kita dirikan lebih khusyuk dan mendapat kemanisan semasa mendirikan solat.

Tambahan pula, terdapat individu yang mendirikan solat hanya sekadar pergerakan zahir namun individu itu  perlulah diikuti dengan penghayatan di dalam jiwa seseorang. Sekiranya kita merujuk kembali kepada ayat surah Al-Ankabut:45 yang telah disebutkan sebelum ini, Allah S.W.T telah mengatakan bahawa solat itu dapat mencegah daripada daripada perbuatan keji dan mungkar.

Allah S.W.T telah mengatakan “dengan mengingati Allah itu adalah lebih besar”.
Ada individu yang hanya bersolat sekadar menunjuk-nunjuk lantaran solatnya sekadar zahir dan sambil lewa. Oleh itu pengisian solatnya hanya ibarat bola yang bulat tetapi kosong di dalamnya. Maka solatnya gagal menepis gejala maksiat yang mendatang. Dewasa ini ramai umat yang bersolat tetapi jiwa dan rohani mereka tetap lemah dan mudah diratah oleh godaan syaitan yang dilaknat Allah S.W.T. Secara tidak langsung memberi gambaran kepada kita bahawa Allah S.W.T. telah meletakkan proses hati dalam berhubung dengan Allah itu faktor yang amat penting dalam maksud pensyariatan solat.

Sebab itu perbuatan solat secara zahirnya sahaja bukan penentu jaminan seseorang itu meninggalkan mungkar secara pasti. Walaupun ayat ini menyatakan demikian, namun ayat al-Quran perlu diteliti secara holistik. Adakah solat dilakukan tanpa khusyuk, sambil lewa dalam solat, malas bila mengerjakan, solat dalam keadaan tergesa-gesa malah mungkin dilakukan semata-mata untuk berpura-pura dengan maksud riak. Solat sedemikian sudah pasti tidak seutuh benteng untuk mencegah kemungkaran.

Faktor yang seterusnya ialah solat yang dilengah-lengahkan dengan sengaja. Di dalam al-Quran menyebut perbuatan mungkar tidak mungkin dapat ditinggalkan secara pasti dengan melakukan solat semata-mata. Surah al-Maa’un ayat ke-4 yang bermaksud:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.”

Ibnu Abbas memberikan gambaran yang dimaksudkan orang yang celaka di sini ialah orang-orang yang munafiq. Bersolat ketika di hadapan khalayak ramai tetapi tidak mengerjakannya dalam keadaan bersendirian. Pendapat mengenai ayat ini ditegaskan kepada orang yang melengahkan solat.

Di dalam kitab Al-Durr Al-Manthur karangan al-Imam As-Suyuthi mengatakan bahawa daripada Sa’ad B. Abi Waqash telah berkata: Aku bertanya kepada Nabi S.A.W tentang FirmanNya:” (Iaitu) orang-orang yang lalai dari (tentang) solat mereka ”Nabi S.A.W telah bersabda:

 “ Mereka ialah orang-orang yang melewat-lewatkan solat dari waktunya. Kita dapat pastikan bahawa salah satu ciri-ciri orang yang munafiq ialah suka melambat-lambatkan solat sehingga di hujung waktu”.

Jika faktor melengah-lengahkan solat menjadikan individu itu gagal membina benteng menangkis godaan maksiat maka solat tergesa-gesa juga adalah puncanya. Seseorang yang melakukan solat secara tergesa-gesa akhirnya akan melakukannya dengan remeh-temeh. Ia dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Ini jelas pada sambungan ayat sebentar tadi iaitu “ Mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali”.

Ibnu Kathir berkata, “Ini kerana ketika solat mereka tidak khusyuk malah tidak mengerti apa yang diucapkan. Bahkan dalam solat mereka bermain-main serta berpaling dari kebaikan yang ingin dicapai.”

Begitu juga terdapat hadis yang menyatakan bahawa memang benar kita tidak mampu melihat Allah dalam solat, namun kita hanya dapat meraasakan kehadiran Allah S.W.T setiap saat.
Beribadahlah kamu seolah-olah kamu melihat Allah S.W.T. Jika kamu tak mampu melihatnya (pada realitinya, kita memang tidak dapat melihatNya, maka yakinlah Allah S.W.T melihat dirimu ! “
(Al-hadis)

Kesimpulannya amalan solat mestilah diamalkan mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Islam dan bertepatan dengan sifat solat Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai hamba Allah S.W.T. yang sangat kerdil, kita boleh mencegah kemungkaran dan kemaksiatan tetapi bukan solat yang zahirnya sahaja. Pengisian jiwa dan rohani mestilah seiring dengan pergerakan anggota badan. Solat adalah bukti cinta kita kepada Allah S.W.T. dan solat mestilah ada hubungan batin antara manusia dengan Allah S.W.T. Cinta kepada Allah S.W.T. adalah fitrah hati. Allah S.W.T. sahaja memiliki apa jua keinginan kita. Keinginan menolak kemungkaran dan kemaksiatan tidak mustahil dapat digapai jika hubungan batin (jiwa dan rohani) dengan Allah S.W.T. dapat dilaksanakan dalam solat iaitu solat yang penuh dengan tatacara yang menepati syariat Islam.

Wallahu a’lamu bis-sawab wa ilaihilmarju’u wal-ma’ab


3.0 RUMUSAN
Tuntasnya, setiap manusia yang beragama Islam bukan sahaja melaksanaka solat sebagai rutin harian namun jadikanlah solat iru sebagai suatu amanah dan tanggungjawab seorang Muslim sementara nyawa dikandung badan,

Bukan itu sahaja, kita perlulah mula membaiki kesalahan yang dilakukan amnya dalam pergerakan solat itu sendiri. Seperti yang kita ketahui,  mendirikan solat itu bukan hanya sekadar pergerakan sahaja namun solat yang kita semua dirikan merupakan pegangan dalam Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Rukun Islam yang kedua inilah juga menjadi pegangan Nabi Muhammad S.A.W yang telah dijanjikan di hadapan Allah S.W.T.

Tambahan pula, solat juga akan melahirkan masyarakat yang berpenampilan yang hebat dan berwibawa dari pelbagai perspektif. Ini kerana solat merupakan medium utama dalam proses atau kaedah pebersihan jiwa daripada segala perkara yang merosakkan akhlak.

Ironinya, solat merupakan kunci ataupun inti dari segala ibadah yang merupakan tiang agama bagi seseorang yang beragama Islam sehingga akan memberikan ketenteraman jiwa. Hanya orang yang beriman kepada Allah Taala sahaja yang akan dapat mendirikan solat yang berkualiti. Hasli daripadanya, sudah pasti keluhuran budi dan personaliti seseorang itu akan membawa kepada sifar ketenangan iaitu klimaks bagi segala kejayaan di dunia mahupun di akhirat kelak.

Wallahu a’lamu bis-sawab wa ilaihilmarju’u wal-ma’ab
                                                                             

4.0 REFLEKSI
Alhamdulilah, sejuta rasa kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T, kerana dengan izin dan rahmat serta limpah kurnia-Nya dapatlah saya menyiapkan tugasan projek bagi subjek GPI 1083 Pengajian Islam. Sebelum beralih ke arah konteks refleksi, izinkan saya mengucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada pensyarah berpengalaman subjek GPI 1083, Ustaz Mohd Basil bin Dahmahuri kerana telah memberikan tunjuk ajar sepanjang tugasan ini dijalankan

 Tidak lupa juga rakan-rakan sekelas yang terdiri daripada opsyen Pengajian Melayu dan Muzik kerana sudi bertukar-tukar maklumat semasa proses menyiapkan tugasan ini.
Sesungguhnya, tugasan ini sedikit sebanyak telah memberikan satu impak yang mendalam kepada diri saya amnya. Berdasarkan kesemua penulisan ilmiah ini, saya dapati pelbagai cara untuk mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran dan telah membuka minda saya akan kepentingan solat itu sendiri. Saya berpendapat bahawa tugasan ini memang amat berguna sekali bagi tujuan masa kini dan masa akan datang.

Walau bagaimanapun, sedikit kekangan telah saya lalui bagi menyiapkan tugasan ini. Antaranya ialah, pencarian maklumat menggunakan enjin carian kebanyakannya dalam bahasa Indonesia. Hal ini sedikit sebanyak telah membuatkan saya menterjemah semula bahasa Indonesia itu kepada bahasa Melayu standard dengan lebih teliti. Dengan adanya bahan-bahan tersebut, ianya telah membantu dan melancarkan proses menyiapkan tugasan ini.

Secara holistiknya, tugasan ini telah menambah satu lagi ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada saya sebagai seorang bakal pendidik yang harus menguasai pelbagai ilmu walaupun subjek major saya merupakan Pengajian Melayu dan diaplikasikan sepanjang hayat.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan juataan terima kasih kepada mereka yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sekian terima kasih.
Assalamualaikum…


5.0 BIBLIOGRAFI                                             
·         Bahan rujukan dari buku
Khalid, Syeikh Amru & Nasih Al-Ulwan, Syeikh Sulaiman. (2009). Solat Malam
 Menggamit Kedamaian.( Tolha Al Khairi, Syeikh Abu Muhammad, terj.).Kuala Lumpur : Al Bayan.

 Rushon S.Rauf & Muhammad Arif Muhammad Syah.(t.t) Smart solat for  teens. Kuala Lumpur : Synergy Media.

Zaharuddin Abd. Rahman. (2008). Formula Solat Sempurna . (Edisi Pertama). Puchong
 : Telaga Biru Sdn. Bhd.
·         Bahan rujukan dari internet
Abadin Arinen. (2013). Peranan solat dalam pembentukan masyarakat berkualiti. Dicapai pada 12 Februari 2016 daripada file:///C:/Users/ILHAM/Desktop/PERANAN%20SOLAT%20DALAM%20PEMBENTUKAN%20MASYARAKAT%20BERKUALITI.html
Asyaf. (t.t). Solat tapi masih buat maksiat. Dicapai pada 12 Februari 2016, daripada                                         file:///C:/Users/ILHAM/Desktop/SOLAT%20TETAPI%20MASIH%20BUAT%20MAKSIAT%20_%20Tinta%20Imam%20Muda%20Asyraf.html
Lafadz adzan subuh dan terjemahannya.(t.t & t.p). Dicapai pada 14 Februari 2016 daripada http://www.doamuslim.com/lafadz-adzan-subuh/
Pengertian solat. (t.t & t.p). Dicapai pada 15 Februari 2016 daripada http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/ibadat/solat.htm
Surah Al-‘Asr. (t.t & t.p).Dicapai pada 14 Februari 2016 daripada http://www.surah.my/103
Ummi Munaliza.(2010).Kenapa orang Islam solat menghadap Kaabah?. Dicapai pada 14 Februari 2016 daripada http://halaqah.net/v10/index.php?topic=10547.0

·         Bahan rujukan dari Kamus
Noresah Baharom et al. (2007). Kamus Dewan (edisi ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
·         Bahan rujukan dari Majalah

Badrul Hisham Shari. (2011, Jun). Solat ikut mood dan solat ikut-ikutan. Majalah Anis,     166: 52-53.
Muhammad Hafiz Salleh,(2013). Indikator solat munafik. Majalah Iman, 48: 22-24.


No comments:

Post a Comment

CONTOH TEMPLAT RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN (RPH) SEKOLAH RENDAH MUDAH BAGI GURU TERLATIH

السلام عليكم dan salam sejahtera. Ini merupakan contoh templat RPH yang saya gunakan sepanjang saya mengajar. Saya mengajar di sekolah renda...